|
Pengenalan |
Emas cotek banyak terdapat di Semenanjung
Malaysia dan kepulauan Borneo seperti Sabah,
Sarawak dan Kalimantan. Ia merupakan sejenis
tanaman epifit yang hidup menumpang pada
tumbuhan lain yang lebih besar hanya untuk
mendapatkan cahaya matahari. Tumbuhan ini
banyak terdapat di kawasan belukar di tepi
laut atau rimba di pergunungan. Tanaman ini
tidak tumbuh di kawasan hutan bakau.
Tumbuhan ini boleh tumbuh setinggi 135 cm
dan garis pusat kanopi berukuran lebih
kurang 157 cm. Bentuk daun adalah berbeza
mengikut aksesi iaitu sama ada bulat, bujur
telur atau lonjong. Daun yang besar dan
bulat di kelasifikasikan sebagai emas cotek
betina dan yang lebih kecil dan lonjong
sebagai emas cotek jantan. Daunnya berwarna
hijau berkilat dan mempunyai bintik yang
berwarna emas di permukaannya manakala
dibawah permukaan daunnya berwarna kuning
keemasan dengan tompok-tompok hitam.
|
|
Khasiat dan Kegunaan |
Emas cotek dipercayai berkhasiat untuk
sistem reproduktif wanita. Air rebusan
keseluruhan tanaman diminum oleh wanita
selepas bersalin untuk mengecutkan rahim dan
mengembalikan rahim pada keadaan asal. Ia
juga digunakan oleh wanita untuk merawat
keputihan dan melawaskan haid. Tumbuhan
herba ini dipercayai boleh mengekalkan awet
muda dan digunakan sebagai ramuan dalam
menyediakan tonik untuk lelaki dan
perempuan. Selain daripada itu, emas cotek
berupaya mencegah dan menyembuhkan
penyakit-penyakit seperti paru-paru berair,
kencing manis, darah tinggi, lemah jantung,
cirit-birit, melancarkan peredaran darah dan
rawatan sakit kulit.
|