|
Nama lain |
Ginger (Inggeris), Jahe, Aliah, Jae, Lia
(Indonesia)Kinkh, Khing-daen (Thailand) |
|
Pengenalan |
Halia merupakan salah satu jenis rempah ratus yang bukan
sahaja banyak digunakan dalam masakan timur dan barat
malah antara rempah yang terpenting diperniagakan di
dunia. Tanaman ini berasal dari Asia Tenggara dan
sekarang ditanam secara meluas di seluruh dunia. Antara
negara yang banyak mengeluarkan halia ialah India,
China, Nigeria, Australia dan Thailand. Penanaman halia
di Malaysia boleh dikatakan masih diusahakan secara
kecil-kecilan sebagai tanaman tunggal atau selingan
bersama tanaman saka seperti nanas, getah dan kelapa
sawit. |
|
Khasiat dan Kegunaan |
Halia digunakan sebagai rempah perasa dan ubatan.
Tanaman ini tergolong dalam kategori ubat-ubatan
tradisional Melayu yang dikatakan dapat membantu
menghadamkan makanan, menguatkan tenaga batin,
menambahkan air mani dan membuang angin yang terdapat di
dalam usus kecil dan usus besar. Ubat-ubatan dari halia
juga dikatakan boleh mengawal beberapa penyakit seperti
deman, batuk, migrin, sakit gigi, sakit tulang, sengugut
dan sesak dada. Halia juga bersifat karminatif,
stimulant dan pembunuh kuman jika diambil sebagai ubat.
Halia boleh diproses untuk pengeluaran minyak dan hasil
ekstrak. Bahan aktif dalam ekstrak halia ialah gingerols
dan oleoresin. Minyak halia boleh dijadikan bahan perisa
minuman buah-buahan, konfeksionari, kosmetik dan ubatan.
Biasanya dalam perubatan halia diambil dalam bentuk
minuman halia, halia kering, air rebusan halia atau pati
halia manakala dalam masakan pula dalam bentuk halia
segar, halia kering dan halia bergula. Halia juga boleh
diproses sebagai serbuk halia, halia jeruk dan bahan
perasa untuk pelbagai makanan seperti sos dan bakeri.
|