KESUM
|
Nama Botani |
Polygonum minus
Huds |
|
Nama lain |
Phak phai (Thailand), Knotweed (Inggeris) |
|
Famili |
Polygonaceae |
|
Pengenalan |
Tanaman kesum (Polygonum minus) berasal dari
kawasan Asia Tenggara, iaitu Malaysia, Thailand, Vietnam
dan Indonesia. Ia didapati tumbuh liar, terutama di
kawasan lembap seperti di tepi parit atau dekat dengan
sungai dan tasik. Ia juga didapati hidup dengan subur
di kawasan sejuk di tanah tinggi seperti di Cameron
Highlands dan Genting Highlands. Kesum merupakan tanaman
herba yang renik, lampai, menjalar dan boleh tumbuh
mencapai ketinggian 1.0 m di dataran rendah dan sehingga
1.5 m di tanah tinggi. Daunnya panjang dan runcing
berbentuk anak panah, 5−7 cm panjang dan 0.5–2.0 cm
lebar. Ia tersusun secara berselang pada batang,
berwarna hijau tua dan sangat aromatik. Batangnya
berbentuk silinder, berwarna hijau dengan sedikit
kemerah-merahan, dan mempunyai buku dan ruas yang pendek
yang mudah berakar. Bunganya pula terdapat di hujung
pucuk, berbentuk kecil dan berwarna putih keungu-unguan.
Pada amnya terdapat dua jenis kesum, iaitu yang lebih
merayap/menjalar dan yang tumbuh agak menegak.
|
|
Khasiat dan Kegunaan |
Tanaman kesum sangat popular di kalangan penduduk
Malaysia sebagai bahan perencah/perisa di dalam banyak
jenis makanan, terutama untuk laksa dan asam pedas. Ia
juga boleh dimakan terus sebagai ulam ataupun dibuat
kerabu. Secara tradisional air rebusan daun kesum
digunakan untuk mengubati masalah penghadaman,
menghilangkan kelemumur di kepala dan sebagai minuman
selepas bersalin. Dari segi khasiat pemakanan, kesum
kaya dengan beta karotena, vitamin A, vitamin C dan juga
bahan galian seperti kalium, kalsium dan fosforus.
Daun kesum yang aromatik boleh menghasilkan minyak pati
yang mengandungi bahan kimia `aliphatic aldehyde’ yang
tinggi (60%), dan komponan kimia utamanya ialah decanal
dan dodecanal. Sebagai punca bahan semula jadi
‘aliphatic aldehyde’, minyak kesum pula dipercayai
mempunyai potensi yang tinggi, terutama dalam industri
perisa dan wangian. Ini disebabkan tidak banyak terdapat
bahan semula jadi ini di pasaran.
|
Laman
Utama
|
|
|