|
Pengenalan |
Tanaman nilam (Pogostemon cablin) dipercayai
berasal dari Filipina dan banyak terdapat di hutan-hutan
kepulauan Filipina. Ia dibawa masuk dan ditanam di
Semenanjung Malaysia pada awal tahun 1800. Walau
bagaimanapun pada awal 1900 dengan kemasukan tanaman
getah yang lebih menguntungkan, tanaman nilam tidak lagi
diminati oleh pekebun kecil di Malaysia. Sekarang nilam
diusahakan secara komersial di Indonesia (Acheh), China
dan Brazil. Nilam merupakan tanaman herba renik,
mempunyai banyak cabang dan tumbuh sehingga 1.0 m
tinggi. Daunnya berbentuk ovate, 8−10 cm panjang dan
5−8 cm lebar, tebal dan bergerigi. Ia berwarna hijau
tua keungun-unguan dan mengeluarkan aroma yang unik bila
diramas. Batang dan cabangnya berwarna ungu, berbentuk
empat segi dan diselaputi bulu yang halus. Nilam
didapati tidak berbunga di Malaysia. |
|
Khasiat dan Kegunaan |
Dari segi perubatan tradisional, air rebusan daun nilam
dilaporkan digunakan untuk mengubati sakit tekak, asma,
batuk dan demam.Daun nilam yang beraroma boleh
menghasilkan minyak pati yang dikenali sebagai
`patchouli oil’ di pasaran antarabangsa. Antara bahan
kimia yang terdapat dalam ‘patchouli oil’ termasuklah
benzaldehyde, cardinene, cinnamic aldehyde, eugenol dan
‘patchouli alcohol’. Minyak nilam banyak digunakan
dalam industri wangian dan cirinya yang boleh mengikat
(fixative) minyak pati yang lain menjadikanya sangat
penting dalam pembuatan minyak wangi. Minyak nilam juga
digunakan dalam membuat produk seperti sabun, bahan
pencuci, syampudan ubat antiserangga. Pada konsitrasi
yang rendah, minyak nilam juga digunakan sebagai bahan
perisa dalam produk minuman dan makanan. |