|
SERAI WANGI
|
Nama Botani |
Cymbopogon nardus
(L.) rendle |
|
Nama lain |
Sereh wangi (Indonesia), Citronella (Inggeris) |
|
Famili |
Graminae |
|
Pengenalan |
Tanaman Serai Wangi (Cymbopogon nardus)
dipercayai berasal sama ada dari Selatan India atau Sri
Lanka. Serai Wangi juga tumbuh liar di kebanyakan
negara di Asia Tropika, Amerika dan Afrika. Di
Malaysia, serai wangi biasanya ditanam di halaman rumah
sebagai tanaman dapur dan kebelakangan ini terdapat
beberapa pengusaha yang berminat untuk menanam serai
wangi bagi menghasilkan minyak patinya. Serai wangi
ialah sejenis tanaman rumput yang tinggi dan mempunyai
rimbunan daun yang lebat. Ia boleh tumbuh sehingga
1.0–1.5 m. Daunnya bersifat tirus, panjang sehingga 70
– 80 cm dan 2 – 5 cm lebar. Ia berwarna hijau muda,
kasar dengan urat yang selari dan mempunyai aroma yang
lebih kuat jika dibandingkan dengan serai makan. Serai
wangi jarang berbunga dan hanya berbunga bila sudah
cukup matang iaitu pada peringkat umur melebihi 8 bulan. |
|
Khasiat dan Kegunaan |
Dari segi ubatan tradisional serai wangi digunakan untuk
rawatan selepas bersalin dan pening kepala. Caranya
adalah dengan menggunakan air rebusannya sebagai mandian
atau dibasahkan kepala dan dilapkan pada seluruh badan.
Ia juga banyak digunakan dalam menghasilkan minyak urut
untuk mengatasi masalah kebas-kebas, lenguh-lenguh,
gigitan serangga dan kembung perut. Bagaimanapun di
kebanyakan negara serai wangi ditanam khas untuk
pengeluaran minyak patinya. Serai wangi menghasilkan
minyak pati yang dikenali sebagai `citronella oil’ di
pasaran antarabangsa. Minyak sitronela mengandungi dua
bahan kimia penting iaitu sitronelal dan geraniol.
Sitronelal dan geraniol amnya digunakan untuk bahan
dasar pembuatan ester-ester seperti hidroksi sitronelal,
genaniol asetat dan mentol sintetik yang mempunyai sifat
lebih stabil dan banyak digunakan dalam industri
wangi-wangian. Hidroksi sitronelal penting untuk sabun
dan minyak wangi yang berharga tinggi, manakala mentol
untuk bahan dasar ubat batuk, ubat gigi dan pencuci
mulut. |
|